Thursday, October 22, 2009

Mahasiswa lancar kempen penerangan bantah e-undi

Setelah tamat tempoh seminggu yang diberikan kepada menteri pengajian tinggi bagi menjawab bantahan berhubung pelaksanaan sistem berkomputer dalam pilihan raya kampus, Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) kini memulakan kempen penerangan mereka.

Bermula di Universiti Malaya (UM) kelmarin, BANTAH mendekati mahasiswa di Speaker Corner, berdekatan bangunan pentadbiran UM - tempat yang sinonim dengan gerakan pelajar sekitar tahun 70-an.

"BANTAH akan turun ke segenap penjuru kawasan di mana mahasiswa berada dan berhasrat meluaskannya lagi ke fakulti-fakulti, seterusnya ke luar kampus.

"BANTAH yakin mahasiswa akan bangkit dengan kesedaran dan kefahaman berhubung ketidaktelusan (perjalanan pilihan raya kampus)," katanya yang mendakwa kempen mereka mendapat sambutan baik.

Pada 11 Oktober lalu, gabungan kumpulan pro-Mahasiswa (Pro-M) di universiti awam utama di Lembah Klang itu dilaporkan menghantar memorandum bantahan kepada Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin membantah pelaksanaan e-undi dalam pilihan raya kampus sesi ini.

Dalam pertemuan ringkas di Universiti Putra Malaysua (UPM), mereka mendakwa Mohamed Khaled tidak bersedia berdialog dengan mereka pada ketika itu.

Sehubungan itu, BANTAH memberikan masa tujuh hari - berakhir Isnin lalu - supaya menteri berkenaan dapat memberikan penjelasannya. Bagaimanapun, sehingga hari ini, mereka mendakwa tidak diendahkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Aizat berkata, gabungan yang dipimpinnya itu akan menjadikan UPM sebagai sasaran seterusnya dalam masa terdekat.

Exco kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) itu juga berharap, timbalan kepada Mohamed Khaled, Datuk Saifuddin Abdullah - yang turut menerima memorandum yang sama Isnin lalu - dapat mengkaji semula arahan pelaksaan sistem itu.

Difahamkan, selain di UM dan UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan turut menggunakan sistem yang sama.

Manakala Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan pilihan raya kampus pada 13 Oktober lalu.

Walaupun pengundian melalui sistem e-undi sering dicurigai mudah dimanupulasi, buat pertama kalinya, calon kumpulan pro-Mahasiswa berjaya memenangi dua kerusi umum di universiti tersebut.

No comments:

Post a Comment