Sunday, December 13, 2009

Islam Di Persimpangan, Antara Kejahilan Ummah dan Kelemahan Ulama

Salam kembara dakwah..

Pertama dan selamanya kita panjatkan kesyukuran yg tidak terhingga utk Allah azzawa jallah diatas segala nikmat2Nya yg tidak pernah putus dari kita..
SElawat serta salam buat nabi junjungan Mulia Nabi Muhammad S.a.w, keluarga baginda, serta para sahabat baginda yg mulia..

Sudah lama tidak update blog,dan sy kembali dengan satu tajuk yg rasa2nya semua pembaca selalu mendengar dan membacanya..

Islam adalah satu agama yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan kemenangan. Ianya pernah melalui zaman kegemilangan dan kemasyhuran. Ianya juga pernah melalui liku-liku keruntuhan dan kebejatan. Sudah pasti pada waktu dan ketikanya ianya pasti kembali bersinar dan terpasak kukuh mewarnai dunia. Tetapi persoalanya adalah, bilakah saat-saat itu akan berlaku sedangkan apa yang menjadi realiti sekarang bagaikan sebaliknya?. Kita sentiasa mendengar bahawa zaman mutakhir ini ialah zaman dimana Islam sedang mendaki kembali jurang kelemahan dan menuju kearah kegemilangan. Tetapi menurut perspektif yang lain pula, terdapat usaha tangan-tangan penganutnya sendiri yang begitu giat mencampak dan menjerumuskannya kembali ke jurang tersebut.
Seringkali diibaratkan bahawa Islam itu bagai air tenang yang sentiasa mengalir tidak akan putus. Tetapi dengan suasana yang berlaku dewasa ini, ianya bagai semakin perlahan dan tersekat-sekat bagaikan keliru untuk meneruskan alirannya lantaran hanya bertemu dua persimpangan yang bakal membekukannya. Mengalir ke laut bakal bertemu dengan kejahilan ummah, mengalir ke sungai disekat dengan kelemahan ulama. Keadaan serba salah ini sudah pasti akan menyebabkan aliran suci Islam bakal terhenti dan membeku seterusnya menjerumuskan kembali agama suci ini kedalam jurang kelemahannya kembali.
Fenomena Kejahilan Ummah Yang Menyedihkan
Suasana abad ke 21 ini bukan sahaja menyaksikan kepesatan pembangunan tamadun manusia, malah ia juga memaparkan satu episod kejahilan ummah moden yang melangkaui zaman kegelapan jahiliah umat-umat terdahulu. Melihat kepada senario yang berlaku di negara-negara umat Islam secara khusus, kita akan mendapati tahap kejahilan yang berlaku adalah amat serius dan tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di barat. Akibatnya, negara-negara ini terus dijajah dan dikuasai tamadun dan pemikirannya oleh pihak barat yang memang sentiasa menginginkan keadaan itu berlaku.
Secara ringkasnya kita dapat melihat fenomena ini adalah diantara dua aspek yang saling kait mengait antara satu sama lain. Kejahilan dari sudut akidah dan pegangan atau kejahilan dari sudut hukum dan aplikasi konsep keagamaan dalam kehidupan. Bilamana kita bercakap soal kelemahan pegangan akidah sudah tentu ianya bertitik tolak daripada tahap dan nilai keimanan seseorang manusia terhadap penciptaNya. Terlalu ramai dikalangan umat Islam dewasa ini bagaikan sudah tidak kenal agamanya. Mereka hanya dikenali melalui nama Islamnya dan status keagamaan yang terdapat pada kad-kad pengenalan. Itupun sering dipertikaikan kebebasan dan keperluannya. Mereka bukan sahaja tidak mengenal Islam, malah budaya dan adat resam bangsa yang berasaskan keagamaan yang betul semakin hari semakin dilupakan bahkan dianggap ketinggalan zaman dan menghalang kemodenan. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan mereka yang bermati-matian memperjuangkan ideologi tersebut diatas nama kemodenan dan hak asasi manusia . Tak kurang juga yang dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran bagaikan pejuang bangsa dan kemerdekaan hasil dari fikrah songsang yang mereka perjuangkan.

Keadaan ini boleh dilihat pada segala sudut dan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat pada umat Islam kini. Lihat sahaja muda-mudi dimana-mana negara umat Islam. Secara umumnya mereka adalah golongan yang paling banyak terkesan dengan kanser akidah dan ideologi ini. Mereka bukan sahaja berpakaian dengan pakaian yang tidak melambangkan imej Islam, bahkan tanpa segan silu dan berbangga dengan pakaian-pakaian yang melambangkan agama lain dan ideologi-ideologi sesat. Itu belum lagi disebut soal aurat dan pakaian dari sudut agama dan menepati sunnah.
Hasil dari kejahilan akidah dan pegangan tersebut, maka ianya sudah tentu akan melahirkan satu bangsa dan generasi yang sangat jahil dari segi hukum dan perlaksanaan konsep keagamaan dalam kehidupan. Yang lebih menyedihkan, mereka lebih suka mempertikaikan hukum-hukum Islam daripada mempelajari dan merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Malah mereka juga lebih suka menafsir dan mengolah hukum mengikut kesesuaian hawa nafsu mereka sendiri. Keadaan ini menjadikan mereka semakin hari semakin jahil dan jauh terpesong dari panduan dan hidayah Islam yang sebenar.
Realitinya, kesan dari kejahilan yang berlapis-lapis dari dua sudut diatas sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah dan kekeliruan dalam diri individu muslim, masyarakat dan negara umat Islam. Masalah yang paling jelas dan meruncing ialah masalah keruntuhan akidah yang sangat parah. Kes murtad dengan peratus yang sangat tinggi, ajaran sesat yang sangat berleluasa dan juga hukum-hukum agama samada dalam perkara dasar dan cabang yang sering dipermain dan dipertikaikan.
Kanser akidah ini terus merebak sehingga menzahirkan pelbagai symptom dan penyakit zahir yang melemahkan jiwa dan jasad masyarakat Islam. Lihat sahaja masalah gejala akhlak dan moral yang sudah tidak terbendung lagi. Ianya bertitik tolak daripada kepimpinan negara yang lemah dan sistem pendidikan negara yang lompang disana-sini serta undang-undang ciptaan manusia yang sudah terbukti jelas tidak mampu menyelesaikan masalah manusia. Keadaan ini bertambah buruk dengan kemasukan tanpa kawalan pengaruh budaya barat yang sesuai dengan nafsu serakah manusia dan melawan fitrah kemanusiaan dan tuntutan agama.
Selain itu, masyarakat Islam juga dijangkiti dengan virus ideology yang meyeleweng dan tersasar jauh dari panduan dan tuntutan Islam yang sebenar. Mereka lebih suka mementingkan kebendaan dan apa yang zahir dipandangan mata. Idealisma-idealisma songsang seperti Liberalisme, Pluralisme, Hadharisme, Sekularisme dan bermacam-macam lagi isme sesat semakin diterima pakai dan dijadikan pegangan dalam perjalanan kehidupan. Malah perjuangan memartabatkan fikrah-fikrah tersebut dibuka luas dan diberi segala macam kemudahan terutamanya melalui media massa samada media elektronik dan media cetak.
Penyakit-penyakit rohani dan jasmani yang disebutkan tadi akhirnya menyebabkan ummah hilang kesatuan dan berpecah belah. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman di dalam surah Yunus :
Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan agama yang satu (agama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

Thursday, December 3, 2009

Manipulasi Media Punca Ramai Keliru isu Doa- Nik Aziz

KOTA BHARU, 3 Dis: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan manipulasi yang dimainkan media punca ramai keliru isu doa yang disebutnya sebelum ini.

“Saya sendiri tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, dalam doa tu saya sebut dua perkara, meminta Allah perbetulkan pemikiran Perdana Menteri serta menteri-menterinya supaya membayar royalti kepada Kelantan.

“Dan sekiranya Perdana Menteri masih enggan menyerah royalti kepada kerajaan negeri barulah saya mendoakan sesuatu yang tidak baik, itu kaedah biasa,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Semalam segelintir penyokong Umno yang berselindung di sebalik Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan mengadakan perhimpunan di depan Kota Darulnaim bagi mendesak Menteri Besar supaya meletak jawatan.

Sebelum itu, akhbar melaporkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mendoakan supaya dimusnahkan masa depan politik pemimpin Umno sekiranya enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan.

Oleh itu Menteri Besar hari ini melahirkan rasa dukacita kerana doa yang disebut sebelum ini tidak ditulis secara betul sehingga menyebabkan ramai tidak faham.

“Sekiranya ingin mengulas tentang doa, ia harus diambil isi doa tersebut secara keseluruhan iaitu meminta kepada Allah supaya memperbetulkan jalan berfikir Perdana Menteri agar menerima Islam yang syamil (menyeluruh),” katanya.

Malah kata beliau mana mungkin seseorang yang dikhianati mengambil sikap berdiam diri tanpa dilakukan sebarang tindakan.

Beliau menjelaskan Islam tidak pernah melarang umatnya mendoakan sesuatu yang buruk terhadap musuh atau atau kepada mereka yang berniat jahat.

“Jika kita rajin membaca sejarah doa-doa yang dilakukan para Nabi, kita tentu akan berjumpa dengan kandungan doa Nabi Musa dan Nabi Muhammad saw yang pernah mendoakan bala kepada musuh Islam.

“Saya juga merasa hairan kenapa sesuatu yang tidak baik sahaja digambarkan, yang elok tidak diperbesarkan,” ujarnya.

Katanya juga memandangkan Perdana Menteri agak terasa apabila berdoa menyebut namanya maka tidak perlu disebut sewaktu berdoa beramai-ramai kecuali secara individu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menempelak demontran yang mendesaknya melepaskan jawatan.

Kata beliau Umno Pasir Mas menggunakan topeng Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan untuk berselindung di sebalik perhimpunan tersebut.

“Ini lagi peliklah, kenapa dah malu ke nak menggunakan nama Umno sehingga terpaksa berselindung di sebalik nama lain pula.

“Malah CD yang disebutkan ada bersama memorandum tersebut untuk dijadikan bahan tidak pula disertakan.

“Biar pun tidak membaca kesemua kandungan bantahan itu, saya sudah dapat menyukat betapa tidak terurusnya sebuah rancangan yang kononnya mahu menggugat sebuah kerajaan,” katanya.

Menurut beliau juga isu membabitkan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman di Perbandanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan haji sudah selesai.

Katanya juga mustahil baginya meletak jawatan semata-mata mengikut kerenah beberapa orang ‘budak nakal’ yang berhimpun semalam.