Monday, March 2, 2009

Minta idea untuk bangunkan minda rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 19 Julai (Hrkh) - Pengerusi Badan Perhubungan Parti KeAdilan Rakyat Sabah, Tuan Haji Ansari Abdullah meminta Naib Presiden PAS Pusat, Mohamad Sabu memberi idea bagaimana hendak membangunkan minda rakyat di negeri ini dari sudut politik.

Beliau menyatakan selepas pilihan raya baru-baru ini, rakyat di negeri ini bukan sahaja terkebelakang dari segi pembangunan fizikal malah, turut ketinggalan dari sudut politik.

"Kita nampak pada pilihan raya 8 Mac baru-baru ini, orang Sabah bukan sahaja tertinggal dari segi pembangunan fizikal tetapi juga ketinggalan dari segi politik," Katanya dalam ceramah penerangan isu-isu semasa anjuran Pakatan Rakyat semalam.

Menurutnya, pilihan raya baru-baru ini meletakkan Sabah sebagai negeri tumpuan, tetapi malangnya apabila gula-gula Barisan Nasional (BN) diturunkan, semua pengundi Sabah mengalami pemyakit kencing manis dengan menerima gula-gula tersebut.

Tambahnya, "kita malu mengapa Malaysia bertarung di satu pentas bukan atas dasar keadilan tetapi atas kejijikan dan kekotoran" katanya merujuk tindakan BN dalam pilihan raya yang menggunakan politik wang.

Beliau turut menegaskan negeri Sabah merupakan sebuah negeri nombor satu dari segala aspek di Malaysia .

"Negeri yang paling paling kaya dengan hasil bumi, Sabah, negeri yang paling miskin di Malaysia, Sabah, negeri yang selalu mendapat gangguan bekalan elektrik, Sabah, rakyat yang tidak mendapat bekalan air yang baik, Sabah, dan negeri yang bilangan penganggur tertinggi juga Sabah, gaji paling murah di Sabah dan harga barang paling tinggi juga di Sabah," katanya sambil menerima tepukan lebih 500 orang penonton yang hadir.

Namun begitu katanya "Sekarang kita duduk di kedai kopi orang ramai maki hamun BN dan cerita ini akan berterusan sehingga dewan di bubarkan, tapi bila sampai hari pembuangan undi BN juga yang akan menang ini kerana politik wang," katanya sambil menyatakan perjuangan di Sabah belum lagi bermula.

Tambah beliau lagi, idea, masa dan suara sudah habis diberi penerangan kepada rakyat Sabah, tetapi rakyat negeri ini masih terus tidur, bukan tidur enak tetapi tidur diatas duri, katanya - mns.


No comments:

Post a Comment